Tak perlu panik!

“BELUM waktunya menekan butang panik.” Itu kata pengendali Selangor, Irfan Bakti Abu Salim yang melihat Merah Kuning hanya mengumpul empat mata selepas tiga perlawanan, termasuk tewas mengejut 1-0 kepada FELDA United.

“Bagi saya masih terlalu awal untuk anggap Selangor dalam keadaan bahaya,” kata Irfan. “Ini baru perlawanan ketiga dan saya rasa tidak ada sebab untuk panik. Lambat laun pasti kami akan menemui rentak kemenangan.

“Masalah utama ketika ini ialah ketumpulan barisan depan. Kami cipta banyak peluang tetapi gagal memanfaatkannya manakala lawan pula (FELDA) menggunakan satu-satunya peluang mereka sebaik mungkin.

“Masalah ini dijangka tidak berlanjutan kerana pengurusan kini dalam proses mendapatkan penyerang baru. Ia masih dalam proses perbincangan dan dijangka selesai dalam waktu terdekat.”
Bagi Irfan, pertemuan dengan Sarawak di laman sendiri esok (Stadium Nasional Bukit Jalil) menjadi peluang terbaik kembali di landasan kemenangan dan meraih keyakinan penyokong tetapi dia tidak mahu pemain ambil mudah cabaran Sarawak yang menewaskan Kuala Lumpur 2-0, sebelum tewas tipis kepada Sabah (2-1) dan Terengganu (1-0).

“Saya belum berpeluang melihat corak permainan Sarawak musim ini, tetapi daripada maklumat Razip (Ismail – pengendali Kuala Lumpur), saya mendapat sedikit gambaran dan maklumat,” kata Irfan.

“Biasanya setiap kali bertemu Selangor yang dianggap pasukan elit, lawan bermain 110 peratus. Jadi saya tidak mahu pemain mengambil mudah cabaran Sarawak Sabtu ini (esok).”

Sarawak yang dikendalikan Robert Alberts juga mengalami masalah sama apabila ketumpulan jentera serangannya – selepas penyerang import, Kalle Sone masih belum dapat beraksi akibat kecederaan – tetapi lebih awal mencari jawapan apabila import terbaru, Verdan Muratovic, tiba di Kuching, semalam.

Hukum lebih berat: Shahidan

 

 

TATKALA imej Liga Malaysia dan bola sepak negara menjadi pertaruhan, Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) mahu tindakan segera dibuat bagi membanteras gejala mengatur keputusan perlawanan yang dikesan masih berlaku.
“PFA minta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberikan perhatian serius dengan mengambil tindakan segera dan menyiasat setiap laporan yang mengaitkan pasukan atau pemain.

“Jika gejala ini tidak dibanteras, atau membiarkan bookie berleluasa, maka segala usaha yang kita lakukan untuk membina pasukan yang hebat tidak akan ke mana-mana, sebaliknya ia akan merosakkan imej bola sepak dan negara,” kata Presidennya, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Menurutnya, disebabkan tiada tindakan dianggap cukup tegas dan menyeluruh sebelum ini, gejala itu dipercayai masih wujud dan berleluasa.

Shahidan membuat kenyataan itu ekoran laporan seorang pemain Perlis disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabtu lalu kerana disyaki terbabit menjual permainan ketika tewas kepada MP Muar, 2-7, 9 Januari lalu.

Selain pemain berkenaan, sembilan daripada 11 pemain yang menggalas cabaran Perlis pada perlawanan pertama Liga Perdana dengan MP Muar didakwa bertemu ejen bookie berkenaan yang juga bekas pemain kebangsaan.

Menerusi maklumat, pemain Perlis termasuk pemain importnya, ditawarkan RM100,000 setiap seorang dan Shahidan percaya, ejen bookie terbabit tidak hanya bertemu pasukan yang tewas.

Kekuatan Melayu berasaskan pemikiran rasional: Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Pengaruh pemikiran rasional yang disumbangkan oleh Islam kepada bangsa Melayu sudah menjadikan Melayu sebagai bangsa yang maju, moden dan “accommodative” (bertolak ansur), kata Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, melalui pendekatan yang rasional, pemimpin terdahulu sudah berjaya mendapatkan kemerdekaan untuk negara dan mewujudkan kerjasama politik pelbagai kaum untuk mentadbir negara ini secara bersama.

“Melalui pendekatan yang rasional juga, kita berjaya mengharungi beberapa episod hitam dalam sejarah hubungan kaum di negara kita dan kemudiannya sama-sama bangkit untuk membina kekuatan sebagai sebuah negara bangsa yang maju dan bersatu padu,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Asal Usul Melayu -Induknya Di Alam Melayu di sini hari ini.

Beliau berkata, yang lebih penting, melalui pemikiran yang rasional juga membolehkan bangsa Melayu dan kaum lain di negara ini menerima perbezaan sebagai sebahagian daripada fitrah kehidupan dalam sebuah masyarakat majmuk yang rencam budaya, agama dan tradisi.

“Kita tidak menjadikan perbezaan dan kepelbagaian sebagai penghalang kepada tekad dan iltizam kita untuk hidup secara bersama dalam suasana yang aman dan harmoni.

“Sebaliknya, dengan semangat perpaduan dan penerimaan antara kaum, kita menjadikan kepelbagaian Malaysia sebagai aset utama untuk membina sebuah negara bangsa yang padu,” katanya.

Muhyiddin berharap konvensyen yang julung kali diadakan itu dapat mengupas unsur-unsur positif dalam sejarah ketamadunan dan kebudayaan Melayu yang dapat menyumbang kepada kemajuan bangsa Melayu dan kerukunan hidup masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini dan juga di alam Melayu.
“Dengan mengetengahkan unsur positif ini, kita pastinya akan dapat menyuntik semangat baru kepada bangsa Melayu untuk terus mara melangkah ke hadapan dengan semangat yang kental dan jitu demi mencipta kegemilangan masa kini dan masa hadapan,” katanya

Ally Iskandar & Nurfarahin Sah Bergelar Suami Isteri

 

PETALING JAYA – Personaliti TV3, Ally Iskandar,35, akhirnya sah bergelar suami selepas dua kali lafaz nikah kepada Nurfarahin Romli,22, dalam satu majlis pernikahan yang diadakan di Masjid Kristal, Kuala Terengganu, pagi Jumaat.

Kedua-dua pasangan tersebut dinikahkan kira-kira pukul 10 pagi oleh jurunikah Kampung Atas Tol, Kuala Terengganu iaitu Mohd Abu Bakar.

Pihak lelaki memberikan mas kahwin berjumlah RM250 serta tujuh dulang hantaran kepada pengantin perempuan yang antaranya terdiri daripada Al-Quran, sebentuk cincin, baju kurung, telekung dan sejadah.

Pengantin perempuan pula membalas sembilan dulang antaranya telefon bimbit, baju Melayu, cincin, jubah dan manisan.

Majlis yang agak meriah itu dihadiri oleh keluarga terdekat kedua-dua belah pihak dan juga rakan rakan masing-masing.

Ally sebelum ini pernah bertunang dengan Naib Juara rancangan Gadis Melayu musim pertama iaitu Nur Nur Aishah Zainal, 26, tetapi sayangnya ikatan pertunangan mereka telah putus pada 30 Julai tahun lalu kerana tiada keserasian.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

JPAM Terengganu lancar ‘Ops Bantu 4’

KUALA TERENGGANU: Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Terengganu melancarkan ‘Ops Bantu 4’ bagi menolong mangsa kemalangan dan mereka yang mengalami kerosakan kenderaan di jalan raya ketika musim perayaan.

Pengarahnya, Kamal Mokhtar, berkata hampir 100 anggota JPAM Terengganu terbabit dengan operasi itu yang akan berlangsung sehingga 30 Januari ini.

“Anggota akan bertugas dalam dua syif iaitu dari jam 8 pagi hingga 4 petang dan dari jam 4 petang hingga 12 tengah malam dengan setiap syif disertai 32 anggota.

“Kita juga peruntukkan sebuah ambulans, kenderaan pacuan empat roda dan sebuah kereta bagi setiap daerah di negeri ini bagi menjalankan rondaan dan memudahkan operasi berkenaan,” katanya di sini.

JPAM juga membekalkan sebuah Motosikal Gerak Pantas 999 untuk rondaan berkala di daerah Kuala Terengganu dan Hulu Terengganu serta lori lima tan untuk daerah Besut, Setiu, Hulu Terengganu dan Kuala Terengganu sebagai langkah berjaga-jaga menghadapi banjir.

Kamal berkata, Pengguna jalan raya yang menghadapi masalah hanya perlu hubungi talian 999 atau mana-mana pejabat JPAM yang terdekat untuk mendapatkan bantuan.

Sementara itu, beliau berkata terdapat peningkatan ketara kes kemalangan yang dikendalikan JPAM Terengganu sejak dua tahun lalu.
“Pada 2010, JPAM Terengganu menerima 179 kes kemalangan membabitkan 479 mangsa dan tahun lalu meningkat kepada 192 dengan 600 mangsa,” katanya.

Mesir cadang pinjam AS$3.2 bilion daripada IMF

KAHERAH: Mesir kini berbincang dengan Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) bagi meminjam AS$3.2 bilion dalam usaha memulihkan ekonomi yang terjejas teruk berikutan pergolakan politik tahun lalu.

Menteri Perancangan, Fayza Abul Naga, yang juga ketua potfolio kerjasama antarabangsa, berkata dana pinjaman itu adalah antara topik perbincangan antara

Perdana Menteri, Kamal al-Ganzuri dengan delegasi IMF yang berada di negara itu. “Kami berbincang untuk mendapatkan pinjaman daripada IMF bernilai AS$3.2 bilion bagi membantu kerajaan melaksanakan baget defisit dan imbangan pembayaran,” katanya kepada agensi berita MENA.

Delegasi IMF tiba Ahad lalu untuk mengadakan perbincangan dengan pegawai kewangan Mesir.

“Objektif misi ini untuk melihat bagaimana dana ini akan dapat menyokong program kerajaan Mesir,” kata jurucakap IMF, Gerry Rice dalam satu kenyataan minggu lalu

TAWARAN JINGGA : MEMPERKASA PERKHIDMATAN AWAM NEGARA

NABI Muhammad s.a.w bersabda :

“Mereka (kakitanganmu) adalah saudara (adik beradik)mu, Allah menempatkan mereka di bawah kelolaanmu; sehingga sesiapa mempunyai saudara di bawah kelolaannya maka harus diberinya makan seperti apa yang dimakannya (sendiri) dan memberi pakaian seperti apa yang dipakainya (sendiri); dan tidak membebankan  mereka dengan tugas   berat di luar kemampuan, dan jika kamu membebankannya dengan tugas seperti itu,   hendaklah kamu sendiri membantu mereka.” (HR. Muslim)

Saya ditugaskan berdiri di sini untuk membentangkan Kertas Jingga Tawaran Pakatan Rakyat berkaitan Perkhidmatan Awam Negara.

Pakatan Rakyat telah mencapai kemenangan. Semalam Perdana Menteri telah mengumumkan skim SBPA ditangguhkan. Pengumuman ini dibuat sehari sebelum Konvensyen Pakatan Rakyat di mana Kertas Jingga kita telah  mencadangkan bukan sahaja SBPA ditangguhkan tetapi digubal semula! Nampaknya Kertas Jingga kita telah dapat dikesan oleh PM.

Tahniah kita ucapkan kepada seluruh kakitangan awam atas kejayaan mereka menangguhkan pelaksanaan skim yang akan melebarkan lagi jurang pendapatan di kalangan kaki tangan awam negara ini. Selain tidak dirundingi secara lebih menyeluruh, SBPA benar-benar memberikan penekanan kepada lapis atas sektor perkhidmatan awam dan tidak memberikan pembelaan sewajar dengan kenaikan beban hidup kepada 80% lagi kaki tangan yang dimmasukkan dalam kategori pelaksana.

Berdasarkan Laporan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10), 40 peratus daripada rakyat negara ini tergolong dalam kategori isi rumah berpendapatan kurang daripada RM1,500 sebulan. Kira-kira 75 peratus daripadanya ialah keluarga Melayu/Bumiputera merangkumi keluarga kakitangan awam yang kononnya dibela oleh Kerajaan UMNO-Barisan Nasional (BN). Hakikatnya, masih ramai rakyat Malaysia yang hidup merana. Layanan terhadap golongan rakyat tersebut yang diberikan Kerajaan UMNO-BN dapat disifatkan umpama melukut di tepi gantang, keluar tidak mengurangi, masuk tidak memenuhi.

Jika kita merujuk kepada data terkini Kumpulan Wang Simpanan pekerja (KWSP), 5.3 juta pekerja dengan 92 peratus daripadanya adalah ahli aktif menerima gaji bulanan tidak melebihi RM5,000. Dengan kata lain, hanya 8 peratus daripada golongan pekerja, termasuk kakitangan awam yang berada dalam kategori berpendapatan  melebihi RM5,000. Anggaran Bank Dunia meletakkan bahawa 34 peratus daripada tenaga kerja masih dibayar kadar RM700 sebulan, bermakna satu pertiga daripada tenaga kerja Malaysia berada di bawah paras kemiskinan. Kakitangan awam juga berdepan dengan situasi sedemikian.

Gaji yang bertepatan dengan keperluan kewangan menampung hidup mengikut kos semasa bukanlah keistimewaan atau kemewahan yang dituntut oleh kakitangan awam, tetapi satu konsep hak asasi manusia yang diterima pakai di seluruh dunia. Prinsipnya adalah seharusnya menepati maksud hadis yang saya bacakan tadi.

Bahawa setiap manusia wajar menerima upah yang membolehkan dia menampung kos asas kehidupan seperti kediaman, makanan, pendidikan dan perubatan. Oleh yang demikian, kemelut tuntutan gaji minima yang berpanjangan dan tidak berkesudahan melambangkan persepsi Kerajaan UMNO-BN yang memandang remeh kehendak rakyat, termasuk kakitangan awam yang begitu asasi, seolah-olah rakyat menagih dan meminta sedekah. Hasilnya, sama seperti mahasiswa yang dibelenggu dengan hutang PTPN, kakitangan awam negara kita sebenarnya turut terbelenggu dengan perangkap hutang.

Kerajaan Kelantan pada asasnya bersetuju, Insyaallah jika PR mentadbitr Putrajaya, royalti petroleum yang terhak kepada Kelantan akan dibayar dan semua pinjaman PTPN rakyat Kelantan bermula sejak 2005 akan dijelaskan. Saya telah mendengar ucapan Dato Seri Anwar Ibrahim menjelang 901 yang menyebut PR akan menyemak semula kedudukan PTPN seluruh negara jika PR menguasai Putrajaya. Di bawah SPBA yang dicadangkan, masih terdapat kakitangan awam yang menerima gaji di bawah RM900. Sebagai contoh:

Tangga Gaji Bagi Skim N(Pentadbiran & Sokongan):

Gred N5-1 (SSM – N11) 850 – 2390 (Kenaikan gaji tahunan KGT RM80)

Gred N4-1 (SSM – N17) 955 – 2780 (Kenaikan gaji tahunan KGT RM95)

Prinsip mendekatkan jurang pendapatan akan diguna pakai bagi tawaran alternatif PR kepada perkhidmatan awam negara. Prinsip lain ialah Pakatan Rakyat mengiktiraf sumbangan kakitangan awam yang telah lama berkhidmat atau ‘seniority’ bagi memastikan kenaikan gaji golongan tersebut adalah sepadan. Elaun khas profesional akan ditetapkan bagi kakitangan awam yang mempunyai pengiktirafan profesional seperti jurutera (Ir), juru arkitek (Ar), juruukur tanah (Sr) dan seumpamanya.

Pakatan Rakyat akan menghentikan serta-merta kecenderongan dan amalan menggunapakai tenaga perunding antarabangsa yang penuh dengan pertikaian dalam proses keputusan kerajaan seperti amalan sekarang dan mengembalikan pengaruh dan kedudukan kakitangan awam dalam proses kerajaan.

Tindakan membuka jawatan penting kerajaan kepada lantikan luar juga membuktikan bahawa Perdana Menteri tidak mempunyai kepercayaan kepada kakitangan awam untuk melaksanakan agenda transformasi beliau sehingga terpaksa mengimport tenaga profesional luar seperti yang dilakukan melalui Pemandu di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala dan melibatkan syarikat perhubungan antarabangsa seperti APCO dan FBC. Oleh kerana kertas ini disediakan untuk memberikan pandangan PR terhadap SBPA, izinkan saya melanjutkan sedikit ulasan saya mengenainya.

Kakitangan awam kategori Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) C dijangka menerima kenaikan hampir 45 peratus pada peringkat permulaan gaji berbanding SSM. Meskipun kumpulan pengurusan premier hanya mempunyai 36 orang di negara ini, tetapi Kumpulan Premier 1 mendapat kenaikan sehingga RM60,000 sedangkan gaji mereka sebelum ini hanya sekitar RM30,000. Sementara itu, kakitangan awam biasa hanya menerima kenaikan gaji 7-13 peratus selepas menerima SBPA.

Sebahagian kakitangan juga menuduh SBPA tidak menghargai kakitangan yang bekerja lama atau warga tua. Sebagai contoh, selepas kenaikan tangga gaji skim SSM kepada skim SPBA, kakitangan awam B hanya mendapat separuh daripada kenaikan kakitangan awam A, masalah sama juga berlaku kepada kakitangan awam C gred gaji N1 yang berkhidmat lebih 20 tahun mendapat kenaikan kurang daripada kakitangan awam A. Padahal kakitangan awam C sepatutnya layak menerima lebih kenaikan berbanding kakitangan awam A.

Oleh sebab peningkatan gaji bergantung kepada peratusan daripada pokok gaji, ini menyebabkan peningkatan gaji kakitangan awam yang rendah tidak mendapat peningkatan yang ketara apabila dilakukan kenaikan daripada SSM kepada SBPA.  Mengambil gaji guru sebagai contoh, perbezaan peratusan kenaikan gaji bagi guru di bawah SBPA sangat ketara. Guru DG44/DG1-2 cuma mendapat kenaikan gaji sebanyak RM2.01 atau 0.07% iaitu daripada RM2,982.99 kepada RM2,985 selepas menukar daripada SSM kepada SBPA. Nilai ini terlalu rendah jika dibandingkan dengan kenaikan gaji guru DG54/DG1-6 sebanyak RM1,857.46 (bersamaan 35.94%), daripada RM5,167.64 kepada RM7,025.00.

Gaji guru

Penelitian kami  menunjukkan bahawa pengiraan SBPA akan menyebabkan berlakunya peningkatan gaji guru yang tidak adil. Tambahan juga, terdapat guru dalam gred berbeza menikmati gaji yang sama. Contohnya, seorang guru P1T10 yang menikmati gaji bulanan RM2509.90 dalam SSM, selepas menerima SBPA, gajinya sama dengan guru P1T9 sebanyak RM2615 sebulan.

Jika dihayati ucapan Perdana Menteri semasa membentangkan Belanjawan Negara 2012, tempoh guru DG41 (DG1-1) dinaik pangkat ke DG44 (DG1-2) adalah tahun ke-8 dan seterusnya tahun ke-16 dikira dari pelantikan DG41 akan dilantik ke DG48 (DG1-4). Tapi mengikut SBPA, pihak yang terlibat harus menunggu tahun ke-9 atau menggenapkan perkhidmatan selama 8 tahun di DG41/DG1-1 sebelum dinaikkan pangkat ke DG44/DG1-2 dan perlu menggenapkan 8 tahun perkhidmatan di DG1-2 sebelum layak dinaikkan pangkat secara ‘time-based’ ke DG1-4.

Pengumuman penangguhan SBPA oleh PM membuktikan terdapat begitu banyaknnya kelemahan dalam skim ini. Soalnya, kenapa kabinet meluluskan pelaksanaannya tanpa benar-benar menelitinya? Pakatan Rakyat mencadangkan bukan sahaja SBPA ini ditangguhkan bahkan satu tawaran alternatif berasaskan prinsip akauntabiliti dan kecemerlangan perkhidmatan awam dibentangkan dalam tempoh 60 hari dari tarikh konvensyen ini.

Selain dari itu, satu jawatankuasa mengkaji Akta Pekerja yang dicadangkan oleh Kerajaan BN di mana ia lebih menyebelahi majikan berbanding kakitangan terutama kaki tangan kontrak. Sewaktu menyiapkan kertas ini, kami juga menerima permintaan dari kakitangan MAS yang merasa tidak puas hati dengan kedudukan mereka ekoran ‘share swapping’ antara Air Asia yang mempunyai kakitangan yang sedikit berbanding pesawat dan MAS di mana kaki tangannya lebih besar dengan nisbah pesawat yang lebih kecil.

Di samping itu, dari maklum balas yang kami terima, lebih dari 50% kakitangan awam memihak kepada PR kerana mereka merasakan PR lebih ‘fatherly and motherly’. Simbol ‘fatherly’ PR ada pada tokoh seperti Tuan Guru Nik Aziz dan tokoh ‘motherly’ seperti Datuk Seri Dr. Wan Azizah. Sementara dinamisma yang diperlukan oleh perkhidmatan awam ada pada tokoh seperti YAB Lim Guan Eng. Dengan itu, PR mempunyai kelebihan bagi memberikan tawaran yang lebih bertepatan dalam rangka meningkat mutu perkhidmatan awam kita yang sebenarnya menjadi kunci ‘delivery and perfomance’ Kerajaan.

Dengan saiz perbelanjaan mencecah 28.7% dari Belanjawan 2012 atau jumlahnya RM 52 billion, seharusnya mutu penyampaian perkhidmatan awam mestilah sangat tinggi dan cemerlang.

Sekian

Husam Musa

Konvensyen Pakatan Rakyat

14 Januari 2012

InFo~

InFo~.

sebahagian khutbah solat jumaat 30/12/11

Khutbah jumaat di masjid negeri sabah tadi ada mengatakan:

‘Semakin panjang umur kita, pada hakikatnya semakin pendek lah jangka hayat kita”

Dengan itu, marilah kita memanfaatkan jangka hayat yang pendek itu dengan beribadah kepada Allah s.w.t kerana jika sudah tiba malaikat maut untuk datang mencabut nyawa kita, ianya tidak boleh dilambatkan sesaat atau diawalkan sesaat. Pada masa itu, hanya amalan2 kita semasa kita hidup ini sahajalah yg akan menentukan sama ada kita akan mengecapi kebahagiaan di dalam syurga atau sebaliknya tersiksa di dalam api neraka.

Para pembaca sekalian, memandangkan Tahun 2011 akan meninggalkan kita dan digantikan dengan  tahun 2012, diharap tahun 2012 itu membawa satu permulaan hidup yang lebih bermakna buat anda semua, dan bersempena dengan tahun baru, sudah pasti anda akan mempunyai azam baru bukan? Disini harus diingat, azam baru anda mestilah yang BOLEH dicapai, tidak lupa juga jika ingin mencapai azam baru itu anda mestilah mengiringinya dengan doa kerana Allah berfirman dalam Surah Mukmin ayat 66, “BERDOALAH KAMU KEPADA KU, NESCAYA AKAN KU PERKENANKAN”. Dan yg paling penting ialah USAHA supaya azam baru anda tidak hanya menjadi hangat-hangat tahi ayam.

Satu hal lagi ialah, Azam baru kita mestilah kena dengan islam dan bukan mengikut2 gaya orang-orang barat seperti, berazam untuk kelihatan lebih modern dengan mengenakan pakaian beraneka fesyen dengan membuka aurat. itu adalah satu dosa besar dan TIDAK PATUT diikut oleh kita semua. ALLAH berfirman dalam Al-Quran yg bermaksud “Sesiapa diantara kamu menyerupai sesuatu kaum itu, maka dia tergolong di dalam kaum itu”. Maka jangan lah kita mengikuti cara orang-orang Barat pembaca sekalian, kerana cara mereka itu sudah ketara membawa maksiat dan kemurkaan ALLAH s.w.t.

Setakat ini sahaja daripada say untuk kali ini. Harap pembaca mendapat sesuatu daripada artikel ini.. insyaallah wassalamualaikum.

Fakta menarik..

Pada malam ini, 29/12/2011 adalah malam jumaat yg terakhir…!!! jadi beribadat lah kuat2 yer…